Latarbelakang

Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimanakah Sifoo.com ini bermula? Siapa punya idea? Bagaimana pula Sifoo.com ini boleh bertahan sehingga menjangkau 10 tahun di persada internet Malaysia?

Salam kepada semua!

Baiklah, mari saya cerita sedikit tentang bagaimana Sifoo.com bermula. Semuanya bermula daripada diri saya sendiri sekitar tahun 1998-1999.

Sifoo.com dilahirkan berdasarkan minat yang mendalam (passion) terhadap seni dan teknologi grafik serta keinginan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman (sharing concept).

Pra Sifoo.com

Saya mempunyai minat yang mendalam terhadap ‘seni lukis’ terutamanya dengan lukisan kartun. Pendek kata, saya memang suka melukis. Akan tetapi masalahnya ialah saya menyambung pelajaran saya di dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Virginia Tech, USA. Tidak ada kena mengena dengan dunia grafik, seni dan multimedia kan? Kalau dilihat secara langsung, memang tiada kaitan. Tapi kalau dilihat daripada perspektif lain, ada kaitannya…

Apa kaitannya? Teknologi. Sekitar tahun 1996-1998, teknologi internet di Malaysia masih belum berkembang pesat seperti sekarang. Bukan tiada internet, tapi ianya belum menjadi satu yang rutin. Jadi, apabila saya dihantar ke Virginia Tech untuk menyambung pelajaran, secara otomatiknya saya terdedah kepada teknologi tersebut.

Pendedahan itu menyebabkan saya melihat betapa menariknya teknologi internet ini. Maka, saya menjadi pengguna internet secara normal dan tetap. Satu hari, sahabat saya, Izral Faris yang ketika itu berada di Rensselaer Polytechnic Institute (RPI) menunjukkan laman web peribadinya. Izral Faris jugalah yang bertanggungjawab memperkenalkan Adobe Photoshop kepada saya (ketika itu versi 2.5). Maka, saya terasa teruja dan mula berminat untuk menghasilkan laman web sendiri.

1998, final year (senior year), saya lebih menumpukan eksplorasi saya di dalam dunia internet, grafik dan web. Saya mula menghasilkan laman web. Saya mula terlibat dengan ‘cari makan’ dengan membuat grafik dan web untuk pihak universiti. Saya mula membina ‘network’ dengan melibatkan diri dengan ruang ‘chat’ – medium yang sangat famous ketika itu. Saya bertekad untuk menerjunkan diri saya di dalam dunia rekabentuk grafik.

Ogos 1998, setelah tamat pengajian (lulus, alhamdulillah), saya mula mencari kerja. Apabila penaja saya iaitu Tenaga Nasional Berhad melepaskan saya daripada ikatan kontrak biasiswa kerana krisis kegawatan ekonomi, saya terus membuat panggilan kepada satu syarikat yang membuat iklan di satu akhbar. Syarikat itu adalah Multimedia Synergy Corporation (MMSC). Di sinilah saya memulakan karier saya di dalam bidang rekabentuk grafik. Saya ditempatkan di dalam satu projek pembangunan courseware bagi UNITAR (di mana saya berkerja dan berkenalan dengan Jepf-Baung.com, raven-corepixel.com, issey, CastD dan ramai lagi).

Dalam tahun itu jugalah saya memulakan projek peribadi saya iaitu sebuah laman web yang menyediakan tutorial penggunaan photoshop, flash dan dreamweaver di dalam bahasa melayu. Semua tutorial ditulis sendiri oleh saya. Alhamdulillah, laman web saya yang pada ketika itu diletak di dalam Geocities.com mendapat sambutan yang baik. Terlalu baik.
Lahirnya Sifoo.com

Tahukah anda:
Perkataan “Sifoo” dimulakan oleh saya iaitu untuk Sifoo.com ini. Sebelum itu, perkataan tersebut hanya dieja dengan “Sifu” sahaja. “Sifoo” membawa maksud pakar yang mengajar.

Sambutan yang baik itu menyebabkan saya melangkah setapak lagi dengan melahirkan Sifoo.com. Proses ini dibantu oleh seorang sahabat saya iaitu Hahasrin Hashim (daripada projek UNITAR). Ketika itu saya sudah berkerja dengan sebuah syarikat yang membangunkan projek Tele-Perubatan Malaysia.

Fakta:
Domain Sifoo.com didaftarkan pada 3 April 2000

Pada peringkat permulaan, Sifoo.com hanya menyediakan artikel, sorotan terkini dunia grafik dan jaringan kepada laman web yang berguna. Tiada ruangan interaksi. Kemudian, di atas permintaan ramai, Sifoo.com mula memperkenalkan ruangan forum bagi memudahkan interaksi dan perkongsian ilmu.
Sifoo.com – Sebuah Komuniti Web

Ruangan forum yang ada telah menyebabkan pengunjung Sifoo.com mendaftarkan diri dan saling berinteraksi sesama sendiri. Perkembangan ini melahirkan sebuah komuniti web. Ahli-ahli Sifoo.com (kini digelar Sifoorian) mula berinteraksi di luar dunia internet. Antara program luaran yang pernah dijalankan ialah:

  • Gathering: Malam Seribu Bintang
  • Riang Ria Sifoo.com
  • Bulan Bengkel Sifoo.com
  • Yumcha!
  • Majlis Berbuka Puasa

Kini, Sifoo.com mempunyai pengkalan data keahlian sebanyak tidak kurang daripada 20, 000 pendaftaran. Sifoorian masih lagi aktif di dalam talian mahu pun di luar talian.

Antara nama-nama yang pernah aktif di Sifoo.com sebelum menjadi terkenal dengan hasil kerja masing-masing ialah:

Saya rasa gembira kerana ramai juga yang jumpa saya dan mengatakan mereka bermula di Sifoo.com. Alhamdulillah! Sesungguhnya setiap pekerjaan yang baik itu tidak akan dipandang sia-sia oleh Allah, jika kita terus bersabar.

Merentasi Cabaran

Cabaran? Huh…itu semua perkara biasa. Lumrah kepada apa juga usaha yang kita laksanakan. Sifoo.com juga tidak sepi dengan cabaran. Pernah juga saya dilemparkan dengan kata-kata negatif, dikatakan tidak layak untuk berkecimpung di dunia grafik (sebab saya budak engineering), ada yang mengatakan usaha Sifoo.com ini tidak akan ke mana-mana dan sebagainya.

Saya sentiasa positif kerana niat utama saya bukanlah untuk membuat keuntungan wang ringgit. Seperti yang disebut pada awal penulisan ini, saya sangat minat dengan berkongsi ilmu. Itu sahaja yang sangat penting.

Melangkau 10 Tahun

Kini, sudah melangkau 10 tahun Sifoo.com di persada internet Malaysia. Harapan saya semoga segala ilmu yang pernah dikongsikan dapat memberi manfaat (kalau tak banyak, sedikit pun kira Alhamdulillah).

Saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk anda semua pengunjung Sifoo.com. Saya mengharapkan Sifoo.com akan melangkah terus dengan sokongan anda semua. Insya Allah.

Teruskan sokongan anda!

IMRAN ABDUL JABAR
Pengasas Sifoo.com