Les Copaque kembali dengan Pada Zaman Dahulu

14
Poster: Pada Zaman Dahulu - Les Copaque

Poster: Pada Zaman Dahulu – Les Copaque

Kalau sebut Les Copaque, pastinya kita akan terbayang siri kartun terkenal di Malaysia iaitu Upin dan Ipin. Kejayaan Upin dan Ipin bukan sahaja dicapai di Malaysia malahan juga di luar negara. Di Indonesia contohnya, Upin dan Ipin menjadi satu fenomena yang boleh dibanggakan kerana bukan mudah produk Malaysia untuk mendapat tempat di sana (selain dari Datuk Siti Nurhaliza he he).

Selasa lepas, Sifoo.com memenuhi jemputan Les Copaque untuk sesi pra-tonton produk baru mereka yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Saya, Hanafi Ishak (nuppy) dan Mohd. Hisham (issey) telah pergi ke studio Les Copaque di Seksyen 13, Shah Alam. Kehadiran kami disambut mesra oleh Mohd Zarin selaku Pegawai Perhubungan Media, Mohd Shafiq selaku Pengarah Kreatif dan Fuad selaku Pengarah Seni produksi Les Copaque.

Produk baru mereka ini merupakan siri kartun animasi yang mempunyai konsep dan identiti yang berlainan daripada Upin dan Ipin. Sememangnya, kelainan itulah yang diperlukan supaya industri animasi Malaysia semakin maju ke hadapan dengan mencipta karya-karya yang lebih baik.

Ingat cerita Sang Kancil keluaran Filem Negara Malaysia? Les Copaque akan membawa kita semua kembali mengimbau watak yang pernah menjadi inspirasi kepada kanak-kanak suatu ketika dahulu.

Pada Zaman Dahulu

[youtube_video id=”6HsaipRZwYc”]“Pada Zaman Dahulu”, itulah judul siri animasi yang akan mengimbau kembali siri cerita hikayat kecerdikan Sang Kancil dengan tujuan hiburan dan pengajaran. Mungkin, ada kanak-kanak zaman sekarang yang tidak pernah kenal watak Sang Kancil. Bagi ibu bapa mereka pula, Sang Kancil adalah satu watak yang sangat dekat dengan mereka sewaktu mereka kecil dahulu.Pada Zaman Dahulu (PZD) diharapkan untuk dapat memenuhi jurang ini dengan memberi kepuasan hiburan dan pengajaran kepada seluruh keluarga.

“Pada Zaman Dahulu”, itulah judul siri animasi yang akan mengimbau kembali siri cerita hikayat kecerdikan Sang Kancil dengan tujuan hiburan dan pengajaran.

Kami diberi peluang untuk menonton beberapa episod PZD dan memberi maklumbalas secara langsung. Apa yang boleh dikatakan ialah PZD memang lain daripada Upin dan Ipin walaupun agak susah juga pada mulanya untuk mengenepikan mind-set tersebut. Watak-watak di dalam PZD ini juga kelihatan sangat mengujakan terutamanya Ara dan Sang Kancil.

Untuk mendekatkan pengajaran kisah-kisah zaman dahulu, watak-watak seperti Ara, Aris dan Aki akan berada di zaman sekarang. Manakala, watak-watak binatang seperti Sang Kancil, Sang Buaya, Sang Kerbau dan sebagainya akan muncul apabila Aki menceritakan kisah-kisah zaman dahulu kepada cucunya, Aris dan Ara.

Daripada segi teknikal. stail rendering 3D kali ini sangat mengujakan di mana Les Copaque menggunakan rendering teknik ala-painting. Menurut mereka, teknik shading ini dicipta dan diolah oleh mereka sendiri dengan mengaplikasikan painting texture kepada model 3D. Shading ini juga digabung dengan beberapa layer yang lain supaya shadingnya lebih cantik.

PZD dirender pada format HD dan mempunyai 12 episod secara keseluruhannya. Masih lagi mengekalkan pecahan episod seperti Upin dan Ipin iaitu tempoh 7 minit bagi satu episod dan 3 episod untuk satu kisah. Jadi, untuk musim pertama ini kita akan dihidangkan dengan empat kisah.

Kami berpendapat bahawa PZD ini sangat sesuai untuk tontonan seisi rumah. Olahan cerita yang sangat segar walaupun diadaptasi daripada kisah asal. Walau bagaimana pun, untuk siri awal ini kami sempat juga memberi beberapa input yang kami rasa sesuai untuk diutarakan supaya PZD menjadi lebih menarik lagi untuk episod-episod akan datang (atau sehingga ke filem animasi nanti…mana tahu?). PZD merupakan satu produk yang bakal memeriahkan lagi industri animasi di Malaysia, bukan sekadar menambah kuantiti tetapi menyumbang satu lagi benchmark baru.

Les Copaque score it again“, kata Hanafi Ishak. 🙂

Tarikh Tayangan

Pada Zaman Dahulu

Nantikan siarannya pada 3hb Disember 2011 di TV AlHijrah

PZD dijangkakan akan ditayang pada 3hb Disember 2011 di saluran TV AlHijrah. Jadi, pastikan anda semua tidak ketinggalan untuk menonton siri animasi yang mengujakan ini.

Apabila diajukan soalan tentang samada PZD ini akan difilemkan sebagaimana Geng Pengembaran Upin dan Ipin, Shafiq mengatakan bahawa ianya belum pasti lagi kerana masih terlalu awal dan pihak Les Copaque akan menyiapkan produksi filem kedua Upin dan Ipin terlebih dahulu.

Mungkin PZD akan lebih menumpukan kepada kisah-kisah rakyat tempatan untuk diolah dan dipersembahkan semula dengan stail Les Copaque.

Sifoo.com mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak Les Copaque terutamanya Mohd Zarin yang menjemput dan memberi peluangan kepada Sifoo.com untuk membuat reviu pra-tonton ini. Semoga PZD mendapat tempat di hati penonton Malaysia apabila ditayangkan kelak.

Selamat Maju Jaya!

 


Sinopsis Pada Zaman Dahulu

Pada Zaman Dahulu

Aris dan Papa

Siri ini memaparkan tentang Aris dan Ara yang tinggal di kampung bersama Aki dan Wan. Terlalu biasa tinggal di bandar menyebabkan mereka sukar untuk membiasakan diri di kampung. Seperti kanak-kanak lain, Aris dan Ara juga nakal dan sering terlibat dengan masalah. Dari situ Aki cuba mendekati cucu-cucunya itu dengan bercerita kisah-kisah Sang Kancil agar mereka belajar dari kesilapan.

Pada musim pertama ini, penonton dapat melihat bagaimana Aki seorang datuk yang cuba untuk mendekati cucu-cucunya dengan cara bercerita. Penonton juga dapat mengimbau kembali kenangan mendengar kisah Sang Kancil yang akan disampaikan dengan cara yang lebih menarik serta lucu.

Musim pertama ini lebih kepada ingin memperkenalkan kepada penonton watak-watak yang ada di dalam siri ini serta watak dan perwatakan mereka.

Watak-Watak Pada Zaman Dahulu

Aris

Aris

Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun. Merupakan abang kepada Ara. Memiliki ketinggian 130 sentimeter dan berat 50 kilogram. Seorang kanak-kanak yang agak tembam, bermata warna coklat gelap. Sering kelihatan berbaju-T dan seluar pendek. Aris terlalu biasa dengan kesenangan hidup di bandar, maka apabila dia terpaksa tinggal bersama Aki, Aris banyak menghabiskan masa bermain permainan video dan tidak mahu melakukan aktiviti kampung. Sehinggakan Aki terpaksa memaksanya. Walaupun pada luarannya Aris gemar mengusik Ara, namun Aris sebenarnya sangat melindungi dan menjaga adiknya itu. Aris seorang yang sangat bijak dan cepat belajar, sangat bijak sehinggakan adakalanya Aris kelihatan seperti suka berlagak. Aris sangat berharap suatu hari nanti, dia dapat membuktikan bahawa dia lebih bijak dari yang mereka sangkakan. Seperti Aki, Aris juga sangat berbakat di dalam melukis tetapi tidak ditonjolkan di dalam musim ini.

Ara

Ara

Ara merupakan adik kepada Aris. Ara sangat suka bermain dengan patung beruangnya. Baru berusia 5 tahun, tetapi Ara mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Sebelum Ara mulai rapat dengan Aki, Arislah yang menjadi tempat Ara bertanyakan pelbagai soalan. Oleh sebab Ara sangat naif mudah percaya, dia sering diusik oleh abangnya yang adakalanya sengaja memberikan jawapan yang salah. Ara sangat pemalu, itu sebablah dia banyak menghabiskan masa dengan Aris. Sehinggakan Ara kelihatan seperti sangat bergantung kepada Aris. Walaupun pemalu, Ara sebenarnya sangat manja dan sangat suka mendengar Aki bercerita. Apabila Aki mula bercerita, Ara akan menumpukan sepenuh perhatiannya kepada Aki.

Si comel Ara ini mempunyai mata yang besar dan bulat bagi seorang kanak-kanak berbadan kecil. Ketinggiannya hanya 100 sentimeter dengan berat 40 kilogram. Mempunyai rambut yang ikal dan suka diikat tocang dengan klip bunga di rambutnya. Ara sering memakai baju-T warna merah jambu dan berseluar pendek.

Aki

Aki

Aki adalah datuk kepada Aris dan Ara. Tinggal di tengah-tengah kawasan sawah padi bersama isterinya, Wan. Masanya banyak dihabiskan dengan berkebun di sekitar kawasan rumah dan melukis. Adakalanya juga, Aki gemar berbasikal mengelilingi kampung, sambil menikmati keindahan sawah padi. Aki dilihat sebagai seorang yang sangat berdikari dan berpengetahuan tinggi. Walaupun sudah berusia 70-an, Aki masih kuat dan bertenaga. Namun begitu Aki mudah terkejut dan pelupa apabila bercerita. Mungkin ramai yang menganggap Aki seorang yang sangat garang, namun hakikatnya Aki sebenarnya sangat gemar bergurau senda dan sayang akan cucu-cucunya itu. Sewaktu bersama Aris dan Ara, Aki suka bercerita. Baginya itu adalah salah satu cara untuk mendidik dan menasihati mereka dengan harapan suatu hari nanti mereka akan menjadi insan yang bertanggungjawab. Aki turut berharap agar dengan bercerita, dapatlah dia mendekati dan memahami cucu-cucunya itu.

Aki gemar memakai baju-T Pagoda dan berseluar panjang serta bersongkok. Dengan berkaca mata dan mempunyai janggut halus, Aki dilihat sebagai seorang yang sangat gemarkan bersederhana.

Sang Kancil

Sang Kancil

Sang Kancil seekor binatang kerdil namun mempunyai pemikiran yang sangat cerdik dan luar biasa. Sering dijadikan bahan rujukan oleh binatang-binatang di dalam hutan. Oleh kerana kebijaksanaannya itulah, Sang Kancil sangat disegani dan sering terlepas dari genggaman Sang Harimau.

Sang Kerbau

Sang Kerbau

Sang Kerbau sering mengimpikan untuk menjadi Raja Rimba di dalam hutan itu. Seekor binatang yang baik hati namun terlalu naif dan cepat mempercayai apa saja yang didengarnya. Sang Kerbau mempunyai badan yang tegap dan sasa, namun hakikatnya Sang Kerbau sebenarnya seekor binatang yang penakut dan cepat hilang tumpuan. Sang Kerbau bercita-cita ingin menjadikan Sang Kancil sebagai pengikut pertamanya, tetapi seringkali ditolak.

 

Komen / Pendapat / Pandangan

comments

Share.

About Author

Pengasas Sifoo.com // Senior Trainer // Sangat meminati bidang seni visual digital seperti rekabentuk grafik, rekabentuk laman web dan fotografi. Memiliki pengalaman kerjaya sejak dari tahun 1998 dalam bidang reka multimedia dan pengalaman mengajar sejak dari tahun 2001.

14 Comments

  1. Nama Les’ Copaque di dalam industri ini memang tidak boleh disangkal lagi. Ternyata ‘orang kita’ memang handal dan setanding dengan team-team di luar negara sana. Semoga LC terus maju!

    Terima kasih team Sifoo atas review ini 😉

Leave A Reply