#sifoodotcom

10 Ciri Penting Yang Perlu Ada Pada Pereka Grafik

Kursus di SIFOODOTCOM

Zaman sekarang, jika anda ingin menjadi pereka grafik, terdapat pelbagai peranti dan perisian pintar untuk membantu anda menghasilkan rekaan grafik yang menarik dan pantas. Tetapi bagaimana pula perkara yang tidak boleh dibeli?

Selain bakat, kualiti dan idea, apakah ciri-ciri yang perlu ada pada pereka grafik? Di sini saya senaraikan 10 ciri penting yang perlu ada pada pereka grafik, jika anda ingin terus kekal lama dalam industri kreatif.

1. Komunikasi

Tugas pereka grafik adalah untuk menyampaikan mesej, cerita, jenama atau idea pelanggan. Jadi, anda juga harus mempunyai kemahiran berkomunikasi yang sangat baik bagi menarik pelanggan menggunakan perkhidmatan anda. Ia adalah penting bagi mengekalkan tahap komunikasi profesional dalam situasi rumit atau penerangan yang ringkas tapi jelas dengan apa yang ingin kita sampaikan dalam rekaan kepada pelanggan.

2. Rasa Ingin Tahu

Anda tidak boleh lari dari perasaan ingin tahu kerana kerja yang berkaitan dengan seni harus mempunyai perasaan tersebut. Pereka hendaklah meneroka imaginasi bagi memahami kehendak pelanggan supaya kita dapat menghubungkan kedua-dua maklumat dan idea kita menjadi satu lakaran yang berjaya.

3. Bersemangat dan Boleh Bekerja Sendirian

Anda haruslah sentiasa bersemangat walaupun beban kerja yang banyak. Anda harus menggunakan semangat atas minat dan kecintaan anda pada hasil seni. Selain itu, anda harus mampu bekerja sendiri bagi menyiapkan tugasan tanpa menagih bantuan orang melainkan anda telah buntu atau ketandusan idea. Anda harus tahu mengimbangi beban tugas dan mempunyai jadual pengurusan masa bagi menyiapkan sesuatu tugasan.

4. Keterbukaan

Anda harus berfikiran terbuka, sentiasa mencuba perkara baru dan mudah menerima nasihat sebagai sumber yang tidak dijangka bagi meningkatkan lagi hasil kerja.

5. Mampu Terima Kritikan

Mungkin perkara ini paling sukar bagi kebanyakan pereka, tapi pereka harus mengambil kritikan sebagai input yang positif supaya kita dapat meningkatkan lagi keupayaan dan kemahiran diri.

6. Penyelesai Masalah

Sebagai pereka, anda perlu berfikiran secara logik dan kritis bagi menghasilkan lakaran atau rekaan yang mempunyai fungsi, supaya rekaan itu membantu orang yang melihat memahami akan fungsinya atau mesej yang ingin disampaikan.

7. Mempunyai Sedikit Keraguan

Sedikit keraguan diri boleh menjadikan satu perkara yang baik, di mana dengan keraguan dapat memastikan anda sentiasa menilai keputusan anda dan berusaha untuk melakukan yang terbaik.

8. Kesabaran

Bekerja sebagai pereka anda harus mempunyai kesabaran yang tinggi kerana sesuatu idea itu bukan datang dalam sekelip mata. Anda harus berkerja mengikut aturan supaya idea dapat dikembangkan. Jadi tengok la youtube, layari laman sesawang yang berkaitan supaya kita dapat idea dan bukan meniru ‘bulat-bulat’ atau mengambil hasil seni orang lain.

9. Kebolehpercayaan

Pelanggan bukan sahaja inginkan bakat atau idea anda. Mereka mahu seseorang yang boleh dipercayai. Adalah sangat penting membina kepercayaan pelanggan terhadap kita. Dimana kita mampu menyelesaikan tugas atau kerja pada masa yang telah dijanjikan. Dengan membina kepercayaan dapat ‘mengikat’ pelanggan dengan lebih lama.

10. Berevolusi

Tiada siapa yang tahu semuanya. Adalah baik untuk terus mencuba dan mencari inspirasi baru. Mencuba teknologi baru, berkongsi idea dengan komuniti kreatif dan jangan pernah berhenti belajar.

Selamat tahun baru 2020, semoga kita semua dapat merancakkan lagi industri kreatif negara supaya ia dapat menawarkan peluang kerjaya yang lebih banyak bagi mendepani Revolusi industri ke 4 atau IR 4.0.

Komen via Facebook

Najib Saad

Najib Saad

Berkerja sebagai Penolong Jurutera di Bahagian Sumber & Teknologi Pendidikan dan juga sebagai editor di eduwebtv.moe.edu.my yang dahulunya dikenali sebagai TV Pendidikan.

Kursus di SIFOODOTCOM

Tambah komen

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most discussed