#sifoodotcom

Hello Visual Studio Code!

Kursus di SIFOODOTCOM

Sejak mula diperkenalkan pada April 2015, Visual Studio Code (atau ringkasnya VSCode) mula mendapat tempat di hati para koder di serata dunia. Banyak fungsi-fungsi utama yang ditawarkan menepati keperluan semasa.

Pada 19 November 2019 yang lepas, Facebook, melalui satu blog post mereka menyatakan akan menggunakan VSCode sepenuhnya untuk semua pembangunan aplikasi mereka.

Visual Studio Code is a very popular development tool, with great investment and support from Microsoft and the open source community. It runs on macOS, Windows, and Linux, and has a robust and well-defined extension API that enables us to continue building the important capabilities required for the large-scale development that is done at the company. Visual Studio Code is a platform on which we can safely bet our development platform future.

Joel Marcey – Facebook

VSCode dihasilkan oleh Microsoft dan ditawarkan secara percuma, malahan kod sumbernya yang menggunakan lesen MIT dan boleh diperolehi dari Github. Kalau anda rasa rajin nak compile sendiri, silakan…

Dari PHPStorm ke VSCode

Setelah membaca banyak artikel berkenaan dengan kelebihan VSCode, saya telah mengambil langkah berani untuk mencuba menggantikan PHPStorm dengan VSCode untuk menjalankan kerja-kerja pembangunan aplikasi web.

Berikut adalah antara faktor utama kenapa saya rasakan VSCode mampu menggantikan PHPStorm yang saya gunakan sebelum ini.

Percuma!

Tidak dinafikan, ini merupakan salah satu faktor penting untuk saya. Harga PHPStorm untuk lesen individu adalah USD89 setahun (lebih kurang RM370 pada ketika ini). Agak sukar untuk saya mencadangkan penggunaannya pada peserta kursus yang saya ajar kerana harganya agak mahal!

VSCode percuma, dan banyak extension ditawarkan untuk menjadikan ia hampir menjadi IDE (Integrated Development Environment) untuk pembangunan aplikasi web PHP. Siapa yang tidak suka benda percuma, kan.

Banyak Extension

VSCode tidak tertumpu pada satu bahasa pengaturcaraan sahaja, sebagai contoh, jika anda ingin bangunkan aplikasi menggunakan Go, cari dan pasang sahaja extension untuknya.

Extension yang ditawarkan tidak terhad kepada bahasa pengaturcaraan sahaja, anda boleh pasang theme atau ikon mengikut citarasa anda sendiri.

Multi-platform

Kebiasaannya, saya menggunakan MacBook untuk kerja-kerja seharian tidak kira di pejabat atau di rumah. Namun adakalanya, terpaksa menggunakan laptop yang dipasang Linux Mint atau Windows atas sebab-sebab tertentu.

VSCode ditawarkan untuk Windows, macOS dan juga Linux, jadi tidak menjadi masalah platform apa yang saya gunakan. Saya berharap VSCode juga ada ditawarkan untuk iPad atau Android satu hari nanti.

Git

Tak perlu pasang apa-apa extension, Git datang sekali dengan VSCode. Tapi banyak juga extension lain yang boleh anda pasang untuk memberikan fungsi tambahan kepada anda, sepeti contoh GitLens.

Terminal

Dalam tugasan seharian, penggunaan Terminal sangat penting terutama apabila saya menggunakan Laravel. Sama seperti PHPStorm, VSCode juga mempunyai Terminal bina-dalam tersendiri.

Live Share

Ini merupakan satu fungsi baru yang mungkin akan saya gunakan pada masa akan datang, Live Share. Fungsi ini membolehkan para koder berkolaborasi dengan mudah. Lebih kurang macam Google Docs, dokumen yang sama boleh diubah oleh ramai orang dalam satu masa.

Fungsi ini memerlukan penggunakan mempunyai akaun di Microsoft atau Github. Selepas anda log masuk ke salah satu akaun, satu URL akan dijana dan anda boleh kongsi dengan sesiapa yang ingin berkolaborasi dengan anda. Anda boleh tonton video di bawah ini untuk lebih memahami fungsi Live Share.

Extension Tambahan

Bagi mendapatkan ciri-ciri yang seakan-akan sama dengan PHPStorm, ada beberapa extension yang saya pasang di dalam VSCode. Ada juga yang tiada dalam PHPStorm tetapi saya rasakan ianya menarik untuk digunakan.

Advanced New File

Extension ini memudahkan mencipta fail menggunakan arahan tertentu dengan mudah. Ia sangat berguna terumata kepada koder yang kurang menggunakan tetikus.

Dengan hanya menggunakan kekunci CMD+ALT+N (macOS) atau CTRL+ALT+N (Linux, Windows), kita boleh mencipta fail pada mana-mana lokasi di dalam projek kita dengan mudah.

Auto Close Tag

Extension ini pula menutup mana-mana tag HTML secara automatik. Ini dapat mengelakkan berlakunya kesilapan tertinggal tag penutup pada kod anda yang menyebabkan susun atur elemen anda menjadi haru biru.

Auto Rename Tag

Fungsi yang terdapat pada extension ini memudahkan anda menukar tag HTML dengan mudah. Contohnya, anda menggunakan <div>...</div> dan kemudian ingin menukarnya kepada <section>...</section>, extension ini membantu menukar tag penutup secara automatik.

Fungsi ini telah wujud di dalam PHPStorm, dan saya dapati ianya sangat membantu dalam kerja seharian.

Color Picker

Jika anda banyak menulis kod CSS, pastinya merasa sedikit penat untuk mendapatkan kod-kod warna untuk digunakan. Kebiasaannya saya akan dapatkan kod warna yang saya inginkan daripada Photoshop.

Extension ini dapat mengurangkan kepenatan itu, gunakan kekunci ALT+C+P dan satu tetingkap untuk memilih warna akan dipaparkan.

IntelliJ IDEA Key Bindings

Tidak dinafikan setelah hampir 5 tahun menggunakan PHPStorm, saya banyak menggunakan shortcut key untuk melakukan sesuatu kerja. Dengan extension ini, kita dapat gunakan shortcut key yang sama di dalam VSCode.

Namun terdapat beberapa shortcut key yang tidak disokong oleh VSCode seperti contoh SHIFT+SHIFT (Search Everywhere).

Laravel Extension Pack

Extension ini merupakan gabungan beberapa extension lain yang berkaitan iaitu:

  • Laravel Blade Snippets
  • Laravel 5 Snippets
  • Laravel Artisan
  • Laravel goto view
  • DotENV

Untuk koder yang menggunakan Laravel, ianya merupakan satu keperluan.

PHP Intelliphense

Extension ini menjadi keperluan untuk koder PHP yang mana ia menawarkan fungsi-fungsi yang memudahkan pengaturcaraan menggunakan kod PHP.

Darcula (Theme)

Tidak dinafikan theme Darcula yang terdapat di PHPStorm menjadi pilihan saya, dan saya menggunakan theme yang sama juga untuk VSCode. Ini sedikit sebanyak dapat membantu membiasakan diri dengan perisian ini.

Kesimpulannya…

Setelah beberapa hari menggunakan VSCode sebagai IDE utama, saya rasakan ia mampu menggantikan PHPStorm untuk menjalankan kerja-kerja saya. Banyak lagi extension yang boleh saya tambah jika diperlukan, dan semakin banyak tutorial dan tips untuk VSCode di Internet.

Namun, apa yang saya boleh katakan, VSCode sangat menarik untuk digunakan. Anda cuba sendiri, mana tahu ia pun sesuai dengan citarasa dan keperluan anda.

Komen via Facebook

Avatar

syahzul

Kursus di SIFOODOTCOM

Tambah komen

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most discussed