#sifoodotcom

Muid Latif: Merapatkan Jurang Dunia Kewangan dan Kreatif

Kursus di SIFOODOTCOM

Artis digital yang dipaparkan kali ini bukanlah figura yang biasa-biasa. Bertugas sebagai pegawai kreatif di sebuah intitusi perbankan terkemuka negara, menjadikan beliau antara individu kreatif yang berjaya merapatkan jurang antara dua industri berbeza antara kreatif dan kewangan.

Bukan itu sahaja, penampilan beliau yang bergaya dan sofistikated seakan melawan arus imej tipikal pereka yang lumrahnya santai, rugged dan rebel. Malah pernah dicalonkan top 9 finalist for 2015’s Esquire Malaysia Best Dressed. Temuramah ini lebih banyak menumpukan kepada visi dan pandangan beliau tentang hala tuju industri rekaan dan cuba mencungkil sedikit corak pemikiran beliau untuk menjadi rujukan kepada para pereka muda.

Apakah peranan anda bertugas di industri perbankan?

Sebagai pegawai bank, selain tugas saya merangkumi penyelidikan pasaran kewangan dan analisa maklumat berlandaskan polisi terkini, saya turut menyelia kandungan kreatif dan menguruskan pemasaran digital termasuk pengurusan pengunjung atas talian.

Peranan saya merangkumi operasi harian dalam pengurusan perolehan, pentadbiran eksekutif dan pengawasan perbelanjaan, audit pemenuhan serta memberi kesedaran kepada pengguna mengenai laterasi kewangan dalam pengurusan kewangan yang bijak dan praktikal.

Kewangan dan Rekaan seakan dua entiti yang berbeza, bagaimana kehadiran anda merapatkan jurang tersebut?

Kehadiran saya banyak memberi impak dalam merangkaikan hubungan antara dunia kewangan dan rekaan, membaikpulih agar standard kreatif menjadi lebih berestetika sejajar dengan imej korporat. Pada dasarnya, dunia kewangan lebih banyak memperkasakan inovasi dalam rekaan terutama dalam dunia mata wang dan perdagangan.  

Sebagai seseorang yang hibrid, terminologi tersebut bukan hanya bermaksud kemampuan dalam mengendalikan kemahiran secara meluas dalam pelbagai disiplin tetapi juga terbuka kepada bidang dan genre lain yang bukan-kreatif. Seorang kreatif harus mempelajari jurang tersebut agar dapat mengimbangkan kesedaran secara menyeluruh.

Boleh ceritakan bagaimana anda dilantik sebagai duta Behance dan Creative Common?

Perlantikan duta Behance dilakukan atas penilaian menyeluruh dari pihak Behance di New York dalam permohonan yang diiklankan oleh Behance dan saya antara segelintir orang yang dilantik seluruh dunia pada 2010 untuk membangunkan komuniti kreatif bersama Behance. Selepas Behance diperoleh dari Adobe pada lewat 2012, program duta dibubarkan tetapi peranan saya masih diteruskan secara tidak rasmi.

Untuk Creative Commons, sebuah NGO yang berpusat di USA, saya dilantik menjadi Ketua Projek sejak dilantik sebagai juri untuk pertandingan Creative Commons yang dianjurkan pada 2006 oleh pihak MDEC. Saya meneruskan jawatan ini secara sukarela dan ‘pro-bono’ untuk membangkitkan kesedaran hakcipta, harta intelek dan budaya berkongsi melalui atribusi.

Anda dikenali sebagai artis digital, boleh kongsikan secara ringkas bagaimana proses kreatif dijalankan?

Proses kreatif yang kebiasaannya merangkumi 5 faktor – (1) Penyelidikan, (2) Pengolahan Idea dan Subjek, (3) Penceritaan, (4) Pembinaan dan Optimasi Kreatif dan (5) Penilaian Kreatif.dalam mereka.

Aspek pemilihan ruang dan warna amat dipertekankan dalam menghasilkan keunikan dan kekemasan sesuatu rekaan agar menjadi pakej untuk menjadikan sesuatu visual berinformasi, berestetika dan berkesan.

Adakah industri rekaan di Malaysia masih terpinggir? Mengapa?

Industri rekaan tidak pernah dipinggirkan. Hanya tidak diutamakan kerana secara amnya peratusan sumbangan kepada ekonomi secara menyeluruh masih didominasi dari industri dan sektor lain. Selain itu, lebih banyak sekolah rekaan ditubuhkan dan diperkenalkan dalam institusi pengajian dan ia melambangkan keperluan umum dalam sektor perkhidmatan kreatif.

Apakah kualiti yang dilihat dalam proses mengambil pereka baru?

Tulus, cekap dan berfikiran inovatif. Saya lebih gemar pereka yang berkaliber dalam menghasilkan rekaan secara produktif, berkualiti dan pantas. Selain kemahiran yang tinggi, personaliti amat penting bagi memastikan mereka singkirkan sifat ‘eksklusif’ dan menjadi lebih ‘inklusif’ agar dapat melaksanakan tanggungjawab dengan amanah agar dapat menaikkan sesebuah organisasi atau syarikat secara bekerjasama agar terus maju secara positif. Seseorang yang berbakat tidak berfungsi sekiranya dia seorang yang pemalas dan mementingkan diri sendiri.  

Dengan kehadiran sekolah rekaan atas talian, ada pendapat mengatakan sekolah rekaan formal tidak relevan di masa kini, adakah anda bersetuju?

Bagi pendapat saya, selagi kita ada semangat dan daya untuk mempelajari sesuatu yang baru untuk pendidikan kita mahupun formal atau tidak formal, ia melambangkan bahawa kita adalah seorang yang inginkan kejayaan yang baik dalam kehidupan kita.

Oleh itu, persoalan relevan atau tak bukan suatu halangan selagi seseorang itu mampu menjanakan kreativiti. Walaupun saya mempunyai ijazah, saya turut mekarkan ilmu pengetahuan saya terkini dengan menghadirkan diri dengan kursus-kursus singkat menarik melalui futurelearn.com.

Apakah perkara yang patut diberi perhatian dalam pendidikan secara khusus?

Pengaruh paling utama yang ‘menjahitkan’ jurang rajin dan malas berlandaskan kehendak ilmu dan keupayaan untuk  mendapatkan penguasaan terbaik dalam mengamalkan konsep serba boleh selain bakat yang ada. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Kerajinan dalam menyelidik dan memperolehi maklumat, membuat analisa berdasarkan tugasan yang diberi secara tepat dan berfakta serta hasil yang memberangsangkan agar mendapat penilaian yang memuaskan.

Ada sesetengah pereka masih bergelut dengan pelbagai rintangan dalam bersaing dan berikhtiar hidup, apa nasihat anda agar mereka terus tidak berputus asa?

Ia sebenarnya atas dasar pemilihan dalam pembentukan diri. Ia juga dari faktor pengaruh sekeliling. Sekiranya kita dikelilingi oleh orang yang berfikiran jauh dan positif, maka kita akan membentuk diri menjadi juara akan senantiasa mekar dengan sabar, tabah dan tidak berputus asa. Sekiranya kita dikelilingi oleh orang yang mudah tewas sebelum melangkah, sering memikirkan diri serba kekurangan dan negatif, maka kita turut terheret dalam mentaliti toksik.

Apa perkara pokok yang sepatutnya diberi perhatian dalam komuniti rekaan?

Kolaborasi, kerjasama dan kreativiti.

Bagaimana dengan tahap kesedaran tentang isu hakcipta di kalangan pereka/artis di Malaysia?

Kurang diminati tetapi kesedaran itu ada. Cuma secara peribadi ia tak menggalakkan sekiranya dibandingkan dengan negara-negara jiran yang tidak putus dengan bengkel hakcipta serta forum aktif mengenai hak pengkarya. Sebagai antara kurator jemputan @Twt_Seni di Twitter, saya turut mendapat bancian kecil yang dikendalikan pada 19 September 2019 sebanyak 240 undian dimana 93.3% berpendapat hakcipta amat penting untuk orang kreatif, selainnya sebanyak 6.7% mengatakan tidak perlu.

Baru-baru ini, saya telah mengendalikan bengkel rekaan logo untuk kanak-kanak sekolah berumur 12 dan beliau turut menceritakan tentang kepentingan hakcipta dalam berkarya agar hasil ciptaan unik dan bukan di’ciplak’.

Saya harap lebih banyak kesedaran diamati dan diamalkan oleh orang-orang kreatif bagi memastikan kerja-kerja kreatif yang dihasilkan mendatangkan lebih banyak kebaikan dan keuntungan yang memadai.


Ekori @muidlatif di Instagram, Facebook dan LinkedIn untuk lebih banyak perkongsian bermanfaat tentang kewangan dan kreatif.

Komen via Facebook

Lokman Sokran

Lokman Sokran

Lokman Sokran merupakan seorang content strategist yang berpengkalan di Kuala Lumpur. Beliau juga adalah editor untuk majalah mini – BIKIN (instagram/majalah.bikin). Di waktu senggang beliau gemar memenatkan badan dengan melakukan Freeletics ataupun sekali sekala menelusuri lorong kotaraya Kuala Lumpur untuk merakam kehidupan manusia.

Kursus di SIFOODOTCOM

Tambah komen

Follow us

Don't be shy, get in touch. We love meeting interesting people and making new friends.

Most discussed